Jumaat, 23 Ogos 2019 | 3:31pm
PENOLONG Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas SPRM, Rosli Husain.

Najib beli barang kemas untuk isteri bekas Perdana Menteri Qatar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak membelanjakan RM3.3 juta untuk membeli barang kemas dengan menggunakan kad kredit miliknya untuk dihadiahkan kepada isteri bekas Perdana Menteri Qatar.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain, berkata bekas perdana menteri itu memberitahu perkara itu ketika kenyataan beliau dirakamkan SPRM.

Saksi pendakwaan ke-57 itu berkata, Najib memberitahu suruhanjaya itu bahawa transaksi kad kredit berjumlah RM3.3 juta pada 8 Ogos 2014 adalah untuk pembelian hadiah kepada isteri bekas perdana menteri Qatar, Noor Abdulaziz Abdulla Turki Al-Subaie.

“Transaksi kad kredit Najib dibuat di butik barang kemas mewah Swiss, De Grisogono di Itali,” katanya.

De Grisogono adalah butik barangan kemas mewah Swiss yang diasaskan di Geneva Switzerland pada tahun 1993 oleh pakar berlian hitam Itali berasal dari Lubnan, Fawaz Gruosi.

Rosli berkata, Najib juga mendakwa bahawa ‘hadiah besar’ itu diberikan kepada pemimpin luar kerana Qatar mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia.

Ketika menjawab soalan peguam Farhan Read pada sesi pemeriksaan balas berhubung salinan surat penghargaan bertarikh 15 Ogos 2014 yang didakwa diterima Datin Seri Rosmah Mansor daripada Noor Abdulaziz, Rosli menjawab “Tidak tahu.”

Rosli berkata, beliau tidak pernah melihat surat itu malah Rosmah juga tidak menyebut mengenainya ketika SPRM mengambil keterangan beliau.

Perbicaraan kes Najib berkaitan dakwaan penyelewengan wang SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta memasuki hari ke-57 hari ini.

Dalam prosiding sebelum ini, keterangan mengenai transaksi kad kredit Najib dikemukakan saksi pendakwaan ke-47, Naib Presiden Kanan Kumpulan Ambank, Yeoh Eng Leong, 58.

Eng Leong dalam keterangan beliau, berkata penyata kad kredit bekas Perdana Menteri itu menunjukkan wang berjumlah RM2.86 juta dibelanjakan di butik barangan kemas itu menggunakan kad kredit Mastercard Ambank miliknya.

Bagi kad kredit Visa Ambank pula, menunjukkan dua transaksi pembayaran yang berjumlah RM456,360.51.

Eng Leong berkata, kedua-dua kad kredit Ambank itu mempunyai had penggunaan berjumlah RM3 juta.

Berita Harian X