Jumaat, 23 Ogos 2019 | 3:19pm
MOTOSIKAL yang terbabit dalam kemalangan mengakibatkan dua penunggang motosikal maut di Jalan Padang Serai ke Tasek Gelugor. - Foto Ihsan Bomba
KEADAAN kemalangan yang mengakibatkan dua penunggang motosikal maut di Jalan Padang Serai ke Tasek Gelugor. - Foto Ihsan Bomba

2 maut, 4 cedera nahas 5 kenderaan

KULIM: Dua penunggang motosikal maut, manakala empat lagi cedera termasuk dua kanak-kanak, dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Padang Serai menghala ke Tasik Gelugor, dekat sini, hari ini.

Dalam nahas membabitkan masing-masing sebuah kereta dan lori serta tiga motosikal itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohammadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung nahas itu pada jam 7.49 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor, Pulau Pinang, bagaimanapun terdahulu tiba di lokasi pada jam 7.48 pagi.

“Operasi disertai sepasukan anggota dari BBP Kulim Hi-Tech yang diketuai Pegawai Bomba Mohd Ridzuan Shukri.


KEADAAN kemalangan yang mengakibatkan dua penunggang motosikal maut di Jalan Padang Serai ke Tasek Gelugor. - Foto Ihsan Bomba

“Setiba di lokasi, kita mendapati dua mangsa yang menunggang motosikal berasingan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Selain itu, seorang wanita dan dua kanak-kanak menaiki Perodua Myvi serta seorang pemandu lori cedera, manakala seorang lagi penunggang motosikal terselamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohammadul Ehsan berkata, mangsa dikeluarkan daripada kenderaan yang remuk menggunakan peralatan khas.

“Mangsa yang cedera dirawat di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang, sementara urusan berhubung mayat diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Berita Harian X