Jumaat, 23 Ogos 2019 | 2:56pm

Polis nasihat orang ramai tidak hadiri perhimpunan di Brickfields

KUALA LUMPUR: Polis menasihati orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians and Other Races’ di Brickfields, di sini, esok.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe, berkata notis dikemukakan penganjur didapati tidak lengkap dan tidak memenuhi keperluan undang-undang.

“Pihak polis sudah menerima notis pemakluman daripada penganjur mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung hasrat mengadakan satu perhimpunan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians dan Other Races’ pada 24 Ogos (esok) jam 2 petang di ‘Water Fountain Little India’, Brickfields.

“Bagaimanapun, notis dikemukakan didapati tidak lengkap dan tidak memenuhi keperluan undang-undang,” katanya kepada Bernama, di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan tidak menyertai perhimpunan berkenaan bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terpelihara. – BERNAMA

Berita Harian X