Khamis, 22 Ogos 2019 | 2:29pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd. - NSTP/Azhar Ramli

Najib terima RM642 juta dari Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kemasukan dana berjumlah RM642 juta daripada Putera Faisal Turki dan Kementerian Kewangan Riyadh, ke dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu disahkan Pegawai SPRM, Rosli Husain, 54, ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib.

Saksi ke-57 pendakwaan itu, berkata dana berkenaan dimasukkan ke dalam akaun Najib yang berakhir dengan nombor 694.

Menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, sama ada beliau membuat siasatan terhadap akaun berkenaan, Rosli menjawab: “Ada.”

Harvinderjit: Bolehkah kamu sahkan ada kemasukan duit daripada Puteri Faisal Bin Turki?

Rosli: Ada

Harvinderjit: Jumlah kemasukan adalah RM369 juta.

Rosli: Ya, anggaran.

Harvinderjit: Ada juga kemasukan wang daripada Kementerian Kewangan Riyadh (Arab Saudi).

Rosli: Ya.

Harvinderjit: Jumlah kemasukan RM243 juta?

Rosli: Ya

Ketika ditanya mengenai undang-undang yang diguna pakai SPRM, supaya AmBank menyemak dengan suruhanjaya itu terdahulu sebelum membenarkan Najib mengakses dokumen banknya, saksi berkata beliau tidak merujuk pada mana-mana undang-undang tetapi menggunakan inisiatif sendiri untuk memberitahu AmBank supaya merujuk kepada SPRM sebelum membenarkan Najib mendapatkan dokumen bank.

Harvinderjit: Saya mencadangkan, kamu mengarahkan bank supaya tidak memberi dokumen kepada pembelaan supaya pembelaan tidak dapat meneruskan kes.

Rosli: Tidak sama sekali, Yang Arif.

Saksi itu juga berkata beliau tidak tahu nama penuh pegawai penyiasat SPRM yang mengendalikan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Seingat saya namanya ialah Aidah, penguatkuasa kanan... tetapi saya tak tahu nama penuhnya," katanya.

Harvinderjit: Bukankah Aidah rakan sekerja kamu?

"Ya, Aidah rakan sekerja saya. Tapi dia bukan isteri saya, jadi saya tak pasti nama penuh beliau," katanya yang mencetuskan gelak ketawa orang ramai dalam mahkamah.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Berita Harian X