Rabu, 21 Ogos 2019 | 2:00pm

Kerana cemburu peniaga tikam kekasih baharu bekas teman wanita

GEORGETOWN: Seorang lelaki cedera di perut akibat ditikam seorang peniaga dalam kejadian di sebuah pusat hiburan di Lorong Abu Sitti, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, peniaga berusia 54 tahun yang memakai topi keledar meluru masuk ke pusat hiburan berkenaan lalu terus menikam mangsa berusia 40 tahun.

Pemilik pusat hiburan berusia 46 tahun yang berada di tempat kejadian cuba untuk menahan peniaga itu, namun dia turut cedera di tangan apabila ditikam suspek.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata, suspek kemudian meloloskan diri dengan menaiki motosikal yang nombor pendaftarannya tidak pasti.

“Mangsa dan pemilik pusat hiburan itu yang cedera dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut

“Usaha memburu suspek digiatkan apabila polis menemubual bekas teman wanitanya berusia 46 tahun yang sudah mengenali suspek selama enam tahun dan mereka berdua adalah rakan perniagaan menjual nasi ayam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Che Zaimani berkata, suspek dan bekas teman wanitanya sebelum itu tinggal serumah dan mereka berpisah sejak sebulan lalu ekoran perselisihan faham.

“Selepas berpisah, bekas teman wanita suspek menjalinkan hubungan dengan lelaki lain dan ia menyebabkan suspek cemburu lalu bertindak menikam kekasih baharu wanita terbabit,” katanya.

Katanya, beberapa jam selepas kejadian itu suspek berjaya diberkas di sebuah pondok tidak bernombor dekat Jalan Tikus, di sini kira-kira jam 6 pagi tadi.

“Hasil soal siasat awal, dia mengaku menikam mangsa kerana cemburu lelaki itu menjalinkan hubungan dengan bekas teman wanitanya.

“Suspek kini ditahan di Lokap Balai Polis Jalan Patani untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Berita Harian X