Selasa, 20 Ogos 2019 | 10:12am
ANTARA dadah yang dirampas dari dua lelaki disyaki penagih dalam serbuan di Batu Hampar. NSTP/Ihsan PDRM

Pengedar dadah dicekup ketika tunggu pelanggan

PENDANG: Tindakan mencurigakan dua lelaki melepak di tepi jalan di Batu Hampar di sini, membongkar kegiatan mereka yang dipercayai mengedar dadah pada malam tadi.

Suspek berusia 24 dan 27 tahun itu dipercayai sedang menunggu pelanggan mereka di kawasan itu sebelum terserempak dengan anggota polis yang sedang membuat rondaan pada kira-kira jam 12.20 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata ketika kejadian kedua-dua lelaki itu sedang duduk di atas sebuah motosikal jenis Demak Evo Z berwarna hitam dalam keadaan berhenti.

“Pemeriksaan pada penunggang motosikal menemui beg kecil berisi satu paket plastik lutsinar berisi ketulan jernih disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkan 1.30 gram di dalam poket seluar belakangnya. Manakala pemeriksaan pada pembonceng pula tidak menemui apa-apa.

“Pemeriksaan lanjut di dalam raga motosikal pula menemui beg hitam berisi empat paket plastik lutsinar berisi ketulan putih disyaki dadah jenis heroin yang dianggarkan 97.70 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arriz Sham berkata, susulan itu anggotanya menahan kedua-dua suspek dan merampas dadah berkenaan untuk dijadikan barang kes dan tindakan lanjut.

“Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek masing-masing mempunyai empat rekod jenayah lampau.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap mereka mendapati kedua-duanya positif dadah jenis morfin,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

“Jumlah dadah yang dirampas adalah sebanyak RM3,070,” katanya.

Berita Harian X