Isnin, 19 Ogos 2019 | 10:15pm
PENCERAMAH bebas, Dr Zakir Naik. - Foto Fathil Asri

Dr Zakir Naik ke Bukit Aman kali kedua

KUALA LUMPUR: Penceramah bebas, Dr Zakir Naik belum selesai memberi keterangan kali kedua kepada polis di Bukit Aman, di sini, setakat jam 12.30 tengah malam ini, selepas lebih sembilan jam menjalani proses itu sejak petang tadi.

Beliau dipanggil ke Bukit Aman berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan Zakir tiba di Bukit Aman pada jam 3.15 petang tadi.

“Zakir hadir ke pejabat Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) bersama peguamnya, Datuk Akhberdin Abd Kadir.

“Ia bagi sambungan percakapan beliau mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Katanya, proses berkenaan dihentikan sebentar untuk solat Maghrib sebelum ia disambung semula.

Dalam pada itu, lebih 30 pengamal media yang menunggu Zakir selesai memberi keterangan mula meninggalkan perkarangan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman selepas menunggu sejak jam 2 petang.

Berita Harian X