Isnin, 19 Ogos 2019 | 10:00pm
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Najib mengaku tandatangan pada dokumen bank adalah miliknya

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui tandatangan terdapat pada dokumen berkaitan tiga akaun semasa peribadi AmIslamic Bank Berhad (AmIslamic Bank) miliknya, adalah tandatangan beliau.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain, dalam keterangan di Mahkamah Tinggi hari ini berkata, dokumen itu membabitkan borang pembukaan akaun, arahan pindahan dan borang kad kredit.

Rosli selaku saksi pendakwaan ke-57 berkata, Najib mengaku tandatangan beliau tertera pada dokumen berkenaan ketika percakapannya dirakamkan pada 5 Disember 2015 serta pada 22 dan 24 Mei 2018.

Tiga akaun AmIslamic Bank berkenaan adalah yang berakhir dengan nombor akaun 880, 906 dan 898.

Rosli yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim pada sesi pemeriksaan utama, berkata demikian ketika mengesahkan dokumen bank terbabit.

“Dokumen sudah dirujuk kepada Datuk Seri Najib dan beliau mengesahkan semua tandatangan adalah tandatangan beliau.

“Tiada sebarang penafian daripada pihaknya (Najib),” katanya.

Suhaimi sebelum itu bertanya kepada saksi sama ada ketika proses rakaman percakapan itu, beliau menyoal Najib adakah tandatangan pada dokumen itu adalah milik tertuduh.

Pada peringkat itu, peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, berkata keterangan Rosli itu adalah ‘dengar cakap’ semata-mata dan tidak boleh diterima mahkamah melainkan ia disokong oleh dokumen yang boleh disahkan.

Berikutan bantahan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, pihaknya akan membangkitkan mengenai isu terbabit ketika mengemukakan hujahan.

Berita Harian X