Isnin, 19 Ogos 2019 | 8:49pm

Mimbar Masjid Padang Setol pula dibakar

PADANG TERAP: Bahagian mimbar dan permaidani Masjid Padang Setol, Pedu, dekat sini, mengalami kerosakan selepas cuba dibakar pihak tidak bertanggungjawab pagi tadi.

Kejadian itu hanya disedari jemaah masjid yang datang untuk solat Subuh pada jam 5.40 pagi tadi, sebelum mendapati terdapat kesan kebakaran pada permaidani, mimbar dan dinding ruang solat utama.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 8 pagi, sebelum pegawai penyiasat tiba bagi melakukan pemeriksaan.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat unsur khianat dalam kes ini dengan api dipercayai bermula dari bahagian permaidani dan mimbar sehingga menyebabkan papan kenyataan digital turut disambar api.

“Kita sudah meminta Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah melakukan siasatan di lokasi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ini adalah kejadian keempat membabitkan cubaan membakar masjid dalam tempoh seminggu, dengan kejadian sama di Masjid Pendang dan Masjid Sungai Rambai di Pendang, manakala satu lagi di Masjid Tok Keling, Jalan Alor Mengkudu.

Noh berkata, siasatan juga mendapati masjid berkenaan ditinggalkan dalam keadaan pintu tertutup tetapi tidak dikunci dan lampu dipadamkan selepas solat Isyak malam tadi.

“Kita sudah mengambil keterangan penduduk yang pertama tiba di masjid dan imam masjid berhubung kejadian ini dengan tiada barang berharga didapati hilang.

“Masjid ini juga tidak dilengkapi kamera rakaman litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi melihat kejadian berkenaan,” katanya.

10933 dibaca
KETUA Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris melihat kesan kebakaran pada mimbar dan permaidani di Masjid Padang Setol dipercayai angkara perbuatan khianat. - Foto Shahrizal Md Noor
Berita Harian X