Isnin, 19 Ogos 2019 | 6:37pm

Nelayan cedera ditembak di lengan

TAWAU: Seorang nelayan cedera di lengan akibat tembakan didakwa membabitkan sekumpulan individu bertopeng di kawasan perairan sempadan Malaysia-Indonesia, dekat sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika mangsa yang juga warga Filipina berumur 60 tahun bersama anak lelaki berusia 27 tahun dikatakan sedang menangkap ikan di kawasan perairan berkenaan.

Difahamkan, kedua-duanya didatangi tiga individu bertopeng menaiki sebuah bot fiber sebelum mangsa yang curiga memecut bot apabila melihat salah seorang suspek mengacukan senjata api dan menjerit mengarahkan mereka berhenti.

Suspek kemudian didakwa melepaskan satu das tembakan yang terkena lengan kanan mangsa.

Mangsa difahamkan terus memecut botnya menuju ke Kampung Pengkalan Wakuba untuk mendapatkan bantuan.

Kumpulan suspek terbabit disyaki dari negara jiran.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Berita Harian X