Isnin, 19 Ogos 2019 | 5:46pm
TIMBALAN Ketua Polis Selangor, DCP Datuk Ab Rashid Ab Wahab ketika sidang media selepas majlis menandatangani nota kerjasama di antara PDRM Selangor dengan PICKnGo Sdn. Bhd di Dewan Mes Pegawai Kanan Polis, IPK Selangor. - Foto Saddam Yusoff

Kertas siasatan kes kematian Syed Muhammad Danial diserah kepada TPP

SHAH ALAM: Polis hari ini menyerahkan kertas siasatan berhubung kes kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPP).

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk, Ab. Rashid Ab Wahab mengesahkan polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes terbabit dan mengekalkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kertas siasatan sudah dihantar hari ini kepada Pejabat Pendakwa Raya, jadi kita tunggu apa arahan yang akan diterima, sama ada didakwa atau dibebaskan, kita akan maklumkan kemudian selepas menerima arahan pendakwaan.

“Terpulang kepada TPP untuk menentukan jenis pendakwaan sama ada mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau peruntukan undang-undang lain). Siasatan dijalankan (mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan) dan kita rujuk pada kepada TPP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini kes kematian Syed Muhammad Danial, 29, yang maut dilanggar seorang lelaki berusia 40 tahun selepas terbabit perselisihan faham dengan suspek terbabit di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran persimpangan Southville City dekat Bangi, pada 10 Ogos lalu.

Perintah reman terhadap suspek disambung selama lima hari sejak Sabtu lalu selepas perintah reman terdahulu tamat.

Sebelum ini, suspek dan isterinya yang berusia 36 tahun direman tujuh hari bermula 11 Ogos lalu.

BH sebelum ini melaporkan Syed Muhammad Danial disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre pada hari kejadian.

Kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu berpunca daripada kemalangan kecil antara Syed Muhammad Danial dan suspek yang berlaku selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan. Difahamkan, kereta Syed Muhammad Danial terlanggar bahagian belakang kereta suspek menyebabkan berlaku kejar mengejar antara mereka.

Berita Harian X