Isnin, 19 Ogos 2019 | 12:04pm
Gambar fail, Dr Zakir Naik, ketika menyampaikan ceramah agama di Majlis Jelajah Dakwah Dr Zakir Naik ke Kelantan di Stadium Sultan Mohd IV, Kota Bharu, 9 Ogos lalu. - Foto Fathil Asri

Zakir Naik beri keterangan kali kedua petang ini

KUALA LUMPUR: Penceramah bebas, Dr Zakir Naik akan dipanggil ke Bukit Aman petang ini untuk diambil keterangannya bagi kali kedua, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

“Zakir dipanggil ke Bukit Aman jam 3 petang untuk menyambung keterangannya mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam,” katanya ketika dihubungi.

Jumaat lalu, Zakir memberi keterangan di Bukit Aman buat kali pertama untuk membantu siasatan mengikut kanun yang sama.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada 3 Ogos lalu dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Deliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu di negara ini lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi, berbanding Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap kaum Cina Malaysia dengan berkata mereka perlu terlebih dahulu keluar dari negara ini sebagai respons kepada desakan agar beliau diusir dari negara ini. - BERNAMA

Berita Harian X