Isnin, 19 Ogos 2019 | 8:50am
Anggota polis menyiasat lokasi kejadian seorang pengawal keselamatan, Rasydi Rosli (gambar kecil), 23, yang maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan kereta jenis Proton Saga di Kampung Kelapa Wangi, Jalan Pasir Mas - Rantau Panjang malam tadi. - Foto ihsan PDRM Kelantan

Pemuda baru empat bulan berkahwin maut kemalangan

PASIR MAS: Seorang pemuda yang baharu melangsungkan perkahwinan empat bulan lalu, meninggal dunia apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan kereta jenis Proton Saga di Kampung Kelapa Wangi, Jalan Pasir Mas - Rantau Panjang, di sini, malam tadi.

Rasydi Rosli, 23, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 8 malam.

Bapa mangsa, Rosli Sulaiman, 56, berkata dia menerima berita kemalangan terbabit daripada rakan mangsa yang datang ke rumahnya di Kampung Sena, Meranti, di sini, sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Kami sekeluarga terkejut namun reda dengan pemergian anak keempat daripada tujuh adik beradik. Arwah sebenarnya ada pasangan kembar dan saya pasti kembarnya lebih terasa dengan pemergiannya ini.

“Lebih memilukan saya, apabila menantu yang juga isteri arwah, Mahani Zakaria, 21, kehilangan suaminya sekelip mata biarpun baru empat bulan mendirikan rumah tangga. Malah dia kelihatan sangat sedih namun saya berharap dia tabah dengan ujian ini.


Isteri mangsa, Mahani Zakaria, 21 (kanan), menanti jenazah suaminya yang dibedah siasat Unit Perubatan Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) malam tadi. - Foto ihsan PDRM Kelantan

“Arwah seorang anak yang baik, rajin, dan tidak pernah menyusahkan keluarga. Memang setiap hari biasanya dia akan pergi bekerja dengan menunggang motosikal, tidak sangka takdirnya terbabit dengan kemalangan ini,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Pasir Mas (HPM), di sini.

Rosli yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Meranti, di sini, berkata jenazah anaknya itu akan dikebumikan hari ini, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Senor, di sini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Ismail Jusoh, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan itu pada jam 8.12 malam tadi.

“Hasil siasatan mendapati pemandu kereta jenis Proton Saga daripada arah bertentangan dipercayai masuk ke laluan mangsa sebelum berlaku pertembungan menyebabkan mangsa terpelanting ke bahu jalan.

“Manakala kereta berkenaan terbabas ke dalam gaung namun pemandunya melarikan diri. Pihak polis dalam usaha mengesan pemandu terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

1777 dibaca
Berita Harian X