Isnin, 19 Ogos 2019 | 8:08am

Tiga beranak maut dalam kebakaran rumah

SLIM RIVER: Tiga beranak termasuk bayi berusia setahun maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, di sini, awal pagi hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Yunus Abu, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.52 pagi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River sampai di lokasi.

Katanya, BBP Kuala Kubu Bharu, Selangor dengan bantuan BBP Tanjung Malim turut dikejarkan ke lokasi kejadian.


Sharidan Abdul Aziz bersama isteri Siti Rafini Mohd. Rafiee dan anak Rafiq mangsa dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, Slim River. - Foto ihsan Pembaca

Tiga beranak termasuk bayi berusia lingkungan setahun maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, Slim River, Perak. - Foto ihsan Bomba

Beliau berkata, ketika operasi pemadaman dijalankan, anggota menemui tiga mayat mangsa dalam keadaan terbakar sepenuhnya di bilik pertama rumah kelas B itu.

“Mayat mangsa dipercayai pasangan suami isteri berusia 30-an dan bayi mereka berusia setahun lebih ditemui dalam bilik berkenaan dalam keadaan terbakar sepenuhnya.

“Ketiga-tiga mayat berkenaan kemudian diserahkan kepada polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Slim River untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Yunus berkata, operasi pemadaman masih dijalankan.


Keadaan rumah yang terbakar yang mengakibatkan tiga beranak termasuk bayi berusia lingkungan setahun maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, Slim River. - Foto Rosman Shamsudin

4666 dibaca
Keadaan api yang marak dalam kebakaran sebuah rumah mengakibatkan tiga beranak termasuk bayi berusia lingkungan setahun maut di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, Slim River, Perak. - Foto ihsan Bomba
Berita Harian X