Isnin, 19 Ogos 2019 | 6:44am
Kebakaran memusnahkan premis perniagaan dipercayai kedai perabut dan kedai motosikal, di Gong Kapas, Kuala Terengganu, malam tadi. - Foto ihsan Bomba

Lima lot kedai musnah terbakar

KUALA TERENGGANU: Lima lot kedai di Jalan Sultan Mohamad, Kampung Gong Kapas, di sini, musnah dalam kebakaran membabitkan kerugian dianggarkan lebih RM1.2 juta, malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 10.30 malam itu, bangunan yang menempatkan tiga lot kedai menjual lampu hiasan dan barangan elektrik, dua lot kedai menjual aksesori dan alat ganti serta bengkel motosikal musnah dijilat api.

Bagaimanapun, ketika kejadian semua pemilik perniagaan serta pekerja masing-masing dikatakan berada di rumah selepas menutup perniagaan sebelum jam 6 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah, berkata pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan kejadian pada jam 10.37 malam.

Katanya, seramai 33 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, BBP Jalan Kota dan BBP Marang bersama empat jentera termasuk dua lori tangki air dikerahkan ke lokasi bagi bantuan pemadaman.

“Difahamkan kebakaran bermula di bahagian belakang premis menjual lampu hiasan dan barangan elektrik.


Anggota Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran bangunan membabitkan tiga kedai lampu perhiasan dan barangan elektrik dan dua kedai menjual barangan aksesori, alat ganti dan bengkel motosikal yang musnah dalam kebakaran. di Kampung Gong Kapas, Kuala Terengganu. - Foto Zaid Salim

“Ketika tiba di lokasi kita mendapati sebanyak 70 peratus bangunan kedai berkenaan sudah terbakar dan kebakaran juga menyebabkan beberapa letupan kecil berlaku dipercayai berpunca daripada bahan seperti tin penyembur cat dalam premis terbabit.

“Kita mengambil masa setengah jam bagi mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran dan api dapat dipadamkan sepenuhnya jam 1.30 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini

Shoki berkata, usaha memadamkan kebakaran turut menghadapi kesukaran berikutan lot kedai yang bersambung antara satu sama lain selain susunan barangan yang padat.

“Bagaimanapun, punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

2634 dibaca
Berita Harian X