Sabtu, 17 Ogos 2019 | 11:33pm
Laporan polis yang dimuat naik oleh Dwan di akaun Facebook miliknya.

Pelakon difitnah buat laporan polis

LANGKAWI: Pelakon, Dwan Hamid membuat laporan polis selepas mendakwa seorang individu memfitnah dan memburukkan dirinya melalui satu hantaran (posting) yang dimuatnaik dalam Facebook pada 13 Ogos lalu.

Dwan atau nama sebenarnya, Muhammad Ridzuwan Shahul Hamid, 28, membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, di sini pagi semalam.

Difahamkan, pelakon itu bersama beberapa rakannya berada di pulau ini sejak Selasa lalu bagi menjalani penggambaran filem Coast Guard bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Dwan yang mula popular menerusi drama bersiri, Tanah Kubur arahan Rashid Sibir itu turut memuat naik salinan laporan polis dibuatnya melalui akaun Facebook miliknya pada jam 2.45 petang semalam.

Menerusi laporan polis itu, Dwan berkata dia bersama beberapa rakan tiba di pulau ini pada Selasa lalu untuk menjalani penggambaran filem terbabit.


Dwan (kanan) ketika menjalani penggambaran filem Coast Guard di Langkawi. Ihsan FB Dwan Hamid

“Pada masa yang sama, saya menerima beberapa mesej dari Facebook dan WhatsApp daripada rakan dan netizen berhubung satu hantaran daripada grup Langkawi Sana Sini yang dimuatnaik oleh pemilik akaun Facebook bernama Pookbb Best tanpa mengetahui apa tujuan dan niatnya.

“Ini saya anggap sebagai fitnah kerana cerita disebarkan tidak benar, dibuat tanpa usul periksa bertujuan menjatuhkan kerjaya saya sebagai artis, selain mengundang pandangan buruk netizen terhadap diri saya,” katanya.

Beliau berkata, laporan polis itu dibuat bertujuan melindungi keselamatan dirinya dan rakan yang mungkin disalah anggap oleh netizen, selain meminta pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada pelakon itu.

5740 dibaca
Berita Harian X