Sabtu, 17 Ogos 2019 | 5:13pm
OPERASI mencari badan mangsa, Ridwan Jayadi seorang lelaki warga Indonesia dipercayai maut dibaham buaya ketika menyelam bagi membetulkan jala ikannya yang tersangkut di Sungai Lobak Stoh, Rambungan. - Foto Ihsan Bomba

Dibaham buaya ketika betulkan jala

LUNDU: Seorang lelaki warga Indonesia maut dibaham buaya ketika menyelam bagi membetulkan jala ikannya yang tersangkut di Sungai Lobak Stoh, Rambungan di sini, semalam.

Dalam kejadian 2.40 petang itu, mangsa, Ridwan Jayadi, 25, dikatakan pergi ke sungai terbabit untuk menjala ikan bersama dua sepupunya.

Ketua Polis Daerah Lundu, Deputi Superintendan Wong Chee Keong berkata, ketika menyelam mangsa tiba-tiba disambar buaya dan sempat meronta meminta tolong sebelum ditarik buaya berkenaan ke dalam air.

“Kira-kira 10 minit kemudian, buaya berkenaan muncul semula dengan mangsa di mulutnya dalam jarak 15 meter dari lokasi kejadian sebelum tenggelam dan menghilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa datang ke Sarawak pada pertengahan Julai lalu melalui pintu masuk sempadan Biawak-Lundu bertujuan menziarahi keluarga sepupunya.

“Mangsa juga memasuki Sarawak menggunakan pasport yang sah. Kedalaman sungai dianggarkan lapan meter,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, seramai tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Mayat mangsa dijumpai di Sungai Lubok Kertang pada jam 3.05 petang hari ni. Mayatnya dibawa ke jeti dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita Harian X