Sabtu, 17 Ogos 2019 | 12:54pm
ZAKIR Naik dan Khoo Yew Yin.

Polis panggil Zakir Naik, Yew Yin, Tai Kim rakam percakapan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyambung proses rakaman percakapan pendakwah, Dr Zakir Naik pada Isnin depan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata proses itu akan disambung selepas Zakir memohon penangguhan rakaman percakapannya untuk berbuka puasa, semalam.

“Pegawai Penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman sudah mengambil rakaman percakapan Dr Zakir Naik yang diiringi peguamnya Datuk Akberdin Abdul Kader.

“Proses rakaman percakapan itu bermula semalam, pada jam 3.30 petang sehingga 7 malam, Zakir kemudian memohon menangguhkannya untuk berbuka puasa.

“Rakaman percakapan akan disambung pada Isnin, 19 Ogos pada jam 3 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Huzir berkata, rakaman percakapan terhadap Zakir dibuat susulan dua aduan yang diterima terhadap pendakwah terkenal itu.

“Satu aduan diterima berhubung video ceramah yang disampaikan Zakir menyatakan penganut Hindu tidak menyokong Perdana Menteri Malaysia sebaliknya menyokong Perdana Menteri India.

“Satu lagi aduan pula diterima mengenai kenyataan Zakir dalam sebuah artikel portal berita meminta kaum Cina untuk keluar dari Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata percakapan Tan Sri Khoo Yew Yin akan dirakam pada Isnin depan di Ipoh, Perak, susulan aduan diterima berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Selain itu, polis juga akan merakam Pengerusi Persatuan Dong Zong, Tan Tai Kim dalam masa terdekat susulan aduan diterima mengenai kenyataan Perdana Menteri menyifatkan Persatuan Dong Zong sebagai rasis kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan jawi di sekolah adalah satu bentuk islamisasi," katanya.

Beliau berkata, kes membabitkan Zakir dan Dong Zong disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan).

“Kes membabitkan Yew Yin disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan (dengan niat mengapikan mana-mana golongan melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan lain).

“Kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian)," katanya.

Berita Harian X