Jumaat, 16 Ogos 2019 | 11:31pm
Allahyarham Che Azmi dan isterinya, Nor Hayati dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga, pada jam 8 malam. - NSTP/Ramli Ibrahim

Suami isteri dikebumi dalam satu liang lahad

GUA MUSANG: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga, di sini apabila pasangan suami isteri yang maut dalam nahas di Kilometer 15 Jalan Gua Musang - Kuala Lipis berhampiran Kampung Lepan Jaya dikebumikan malam ini.

Allahyarham Che Azmi Che Hamzah, 48, dan isterinya, Nor Hayati Mohamed, 43, dikebumikan dalam satu liang lahad pada jam 8 malam.

Majlis pengebumian pasangan itu dihadiri lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, rakan sekerja dan jiran di Taman Mesra, di sini.

Anak sulung pasangan itu, Mohamad Izat Danial, 23, yang juga penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan anak kedua mereka, Mohamad Syakir Aiman,18, kelihatan sebak sepanjang majlis pengebumian berlangsung.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pemandu van Toyota Hiace, Zulfaizan Muhammad, 43, maut selepas kenderaan mereka terbabit kemalangan kira-kira jam 4.50 pagi tadi.


Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Kampung Lepan Jaya. - Ihsan PDRM

Pasangan terbabit menaiki kereta Toyota Avanza bersama tiga anak mereka Mohamad Faris Faisal Che Azmi, 15, Mohamad Afiz Zulhilmi, 13, dan Nur Damia Sofea, 7, yang cedera menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK).

Manakala, isteri dan lapan anak Zulfaizan mengalami cedera ringan dirawat di Hospital Gua Musang dan sudah dibenarkan pulang ke rumahnya.

Berita Harian X