Jumaat, 16 Ogos 2019 | 9:05pm

Zakir beri keterangan lima jam

KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal Dr Zakir Naik dilihat meninggalkan Bukit Aman, di sini, jam 8.15 malam tadi selepas lima jam memberi keterangan kepada polis dipercayai berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman di Kelantan, baru-baru ini.

Beliau yang berpakaian serba putih dan berkopiah menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova berwarna hitam tetapi tidak memberi maklum balas kepada media yang menunggunya sejak jam 3 petang.

Difahamkan, beliau tiba di Bukit Aman selepas solat Jumaat untuk diambil keterangan oleh Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5).

Setakat ini, masih tiada sebarang pengesahan mahu pun kenyataan rasmi dikeluarkan pihak polis berhubung kehadiran Zakir ke Bukit Aman.

Pendakwah itu dikatakan memberikan kenyataan kontroversi terhadap kaum Cina di negara ini sebagai kenyataan balas kepada pihak yang mengarahkannya supaya keluar dari Malaysia.

Dr Zakir dalam satu syarahan di Kelantan, Khamis lalu, juga didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan penganut Hindu di negara ini lebih percaya kepada Perdana Menteri di India berbanding Tun Dr Mahathir.

Kelmarin, dua menteri Kabinet iaitu Gobind Singh Deo dan M Kulasegaran juga mahu Zakir tidak lagi dibenarkan mengadakan ceramah serta mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum dan ketenteraman awam di negara ini.

Polis juga memaklumkan menerima 115 laporan polis berkaitan Zakir dan sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Dr Zakir selesai memberi keterangan kepada polis, selepas hampir lima jam menjalani proses merekod keterangan di Bukit Aman, malam ini. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Berita Harian X