Jumaat, 16 Ogos 2019 | 7:36pm
SEBAHAGIAN petugas media masih menunggu di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi menunggu Penceramah Bebas, Dr Zakir Naik yang akan hadir memberi kenyataan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Zakir Naik beri keterangan di Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Pendakwah Dr Zakir Naik dipanggil ke Bukit Aman petang ini, dipercayai untuk proses merekod keterangan berhubung ceramahnya di Kelantan pada 8 Ogos lalu, yang didakwa berbaur perkauman.

Zakir dikatakan tiba sekitar jam 3 petang tadi dengan menaiki sebuah kenderaan berwarna hitam, namun tidak dapat dipastikan sama ada beliau berada dalam kenderaan itu.

Setakat jam 6 petang tadi, lebih 20 petugas media masih menunggu di luar perkarangan Bukit Aman bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan lanjut.

Usaha mendapatkan pengesahan daripada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Huzir Mohamed, belum berhasil.

Pendakwah itu dikatakan memberikan kenyataan kontroversi terhadap kaum Cina di negara ini sebagai kenyataan balas kepada pihak yang mengarahkannya supaya keluar dari Malaysia.

Zakir dalam satu syarahan di Kelantan, Khamis lalu, beliau juga didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan penganut Hindu di negara ini lebih percaya kepada Perdana Menteri di India berbanding Tun Dr Mahathir.

Kelmarin, dua menteri Kabinet iaitu Gobind Singh Deo dan M Kulasegaran juga mahu Zakir tidak lagi dibenarkan mengadakan ceramah serta mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum dan ketenteraman awam di negara ini.

Polis semalam juga memaklumkan menerima 115 laporan polis berkaitan Zakir dan sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X