Jumaat, 16 Ogos 2019 | 6:14pm
AHLI keluarga mangsa menunggu di Jabatan Forensik Perubatan HGM untuk menuntut jenazah mangsa. - Foto Ramli Ibrahim

Tak sangka selepas ziarah kematian, mereka pula meninggal dunia

GUA MUSANG: “Saya tidak sangka adik dan suaminya ke Johor menziarah kematian anak saudara mereka, namun mereka pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Mesra, di sini.”

Demikian luah Kamarulzaman Mohamed, 50, iaitu abang kepada Nor Hayati, 43, yang maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah van Toyota Hiace di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Kampung Lepan Jaya, awal pagi tadi.

Selain Nor Hayati, suaminya, Che Azmi Che Hamzah, 48, dan pemandu van, Zulfaizan Muhammad, 43, turut maut dalam kemalangan jam 4.50 pagi, manakala 12 mangsa lagi cedera dan dirawat di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK).

Kemalangan itu turut menyebabkan tiga anak Che Azmi iaitu Mohamad Faris Faisal, 15; Mohamad Afiz Zulhilmi, 13, dan Nur Damia Sofea, 7, cedera dan dirawat di HKK.

Isteri Zufaizan iaitu Wan Zakiah Wan Abdul Razak, 39, dan lapan anak mereka, Siti Fatimah Zulfaizan, 15; Masyitah, 14; Khaulah,11; Solehah, 9; Mawaddah, 7; Sakinah, 5; Muhammad Saad, 3, dan Ahmad Zaid berusia setahun, cedera dan dirawat di HGM.


Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Kampung Lepan Jaya. - Ihsan PDRM

Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata, adiknya bersama suami terlalu tergesa-gesa pulang semula ke Gua Musang selepas menziarah anak saudara Che Azmi yang meninggal dunia di Johor Bahru.

“Dia tiba di Johor Bahru pagi semalam sebelum terus bertolak pulang jam 5 petang tanpa berehat dahulu di sana. Mungkin mereka mengantuk ketika memandu kereta.

“Kami sendiri pun pada mulanya tidak percaya kejadian ini berlaku kerana setahu saya dia pergi ke Johor Bahru lima beranak, takkan pulang dalam masa yang segera,” katanya ketika ditemui di HGM.

Kamarulzaman berkata, akibat kejadian itu, lima anak Nor Hayati dan Che Azmi kini yatim piatu sekelip mata selepas kehilangan kedua ibu bapa mereka secara mengejut.

Katanya, ketika kejadian, pasangan suami isteri itu hanya membawa tiga anak mereka, manakala dua lagi anak mereka tidak ikut iaitu Mohamad Izat Danial, 23, kerana belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), dan Mohamad Syakir Aiman, 18, bekerja di sebuah kedai makan di bandar ini sambil menunggu keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

“Kami sangat terkejut dengan kejadian yang menimpa ini, namun perlu kuat demi anak-anak mereka. Insya-Allah kami akan menjaga kelima-lima anak saudara ini dengan baik,” katanya.

Adik kepada Che Azmi, Azwan Hamzah, 30, pula berkata, ketika kejadian dia sedang memandu kereta di belakang kereta arwah.

“Saya melihat arwah terlalu tergesa-gesa untuk pulang ke Gua Musang dan kami berkonvoi sepanjang perjalanan pulang bersama. Saya gementar melihat kejadian berlaku di depan mata dan bergegas keluar memberi pertolongan,” katanya.

Che Azmi bertugas sebagai Ketua Kerani Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gua Musang, manakala Nor Hayati bertugas sebagai Guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Muhammad Fakhry Petra Gua Musang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian berlaku ketika kenderaan Toyota Avanza dinaiki pasangan itu bersama tiga anak mereka dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Gua Musang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kawasan selekoh, kenderaan mereka hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan sebelum bertembung dengan sebuah van Toyota Hiace dinaiki 10 sekeluarga dari arah bertentangan.

Berita Harian X