Jumaat, 16 Ogos 2019 | 2:43pm
Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Kampung Lepan Jaya. - Ihsan PDRM

Suami isteri antara tiga maut, 12 cedera kemalangan

GUA MUSANG: Suami isteri antara tiga yang maut, manakala 12 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan van di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, berhampiran Kampung Lepan Jaya, di sini, pagi tadi.

Mangsa yang maut di lokasi kejadian pada jam 4.50 pagi itu ialah Nor Hayati Mohamed, 43, dari Taman Mesra, di sini, dan seorang individu yang identitinya belum diperoleh, manakala suami Nor Hayati, Che Azmi Che Hamzah, 48, meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Gua Musang (HGM).

Seramai 12 mangsa cedera dan menerima rawatan di HGM ialah tiga anak Che Azmi iaitu Mohamad Faris Faisal, 15; Mohamad Afiz Zulhilmi, 13; dan Nur Damia Sofea, 7, selain Wan Zakiah Wan Abdul Razak, 39, serta lapan beradik iaitu Siti Fatimah Zulfaizan, 15; Masyitah, 14; Khaulah,11; Solehah, 9; Mawaddah, 7; Sakinah, 5; Muhammad Saad, 3, dan Ahmad Zaid berusia setahun.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata kejadian berlaku ketika kenderaan Toyota Avanza dinaiki Che Azmi dan isteri bersama tiga anak mereka dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Gua Musang.

Katanya, sebaik tiba di kawasan selekoh dekat lokasi kejadian, kenderaan mereka hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan sebelum bertembung dengan van Toyota Hiace dinaiki 10 sekeluarga dari arah bertentangan.

“Kejadian itu menyebabkan pemandu van yang identitinya belum dikenali dan penumpang Toyota Avanza, Nor Hayati yang parah di kepala maut di tempat kejadian.

“Che Azmi pula meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di HGM,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Taufik berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dipanggil bagi membantu mangsa yang tersepit dalam dua kenderaan itu.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan bilangan yang ramai dan tindakan segera perlu dilakukan bagi menyelamat penumpang dua kenderaan berkenaan.

“Kita sedih kerana kemalangan itu berlaku di musim perayaan Aidiladha dan yang terbesar setakat tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, mayat tiga mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X