Khamis, 15 Ogos 2019 | 1:51am
Sebuah kereta tersangkut pada bahagian hadapan sebuah lori pembancuh simen sebelum diseret sejauh beberapa meter di Jalan Klang Lama, petang semalam.

Trauma kereta tersangkut depan lori simen

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila kereta dipandunya tersangkut pada bahagian hadapan sebuah lori pembancuh simen sebelum diseret sejauh beberapa meter di Jalan Klang Lama, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, wanita yang memandu Perodua Axia itu dalam perjalanan pulang ke Puchong dan apabila tiba di persimpangan lampu isyarat Jalan Klang Lama, dia yang berada di lorong kiri mengubah haluan ke lorong kanan.

Difahamkan, pemandu berusia 56 tahun berkenaan dipercayai tidak perasan terdapat sebuah lori pembancuh simen di laluan berkenaan dan pemandu lori itu juga tidak menyedari Perodua Axia memasuki lorongnya.

Akibatnya, lori terbabit terlanggar bahagian sisi belakang kanan Perodua Axia berkenaan menyebabkan ia berpusing dan terseret di hadapan lori.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd Salleh, berkata ketika kejadian, berlaku hujan lebat yang mungkin menyebabkan pemandu lori tidak menyedari ada sebuah kereta tersangkut di hadapannya.

“Pemandu lori menyangka dia terlanggar lubang di jalan apabila merasai sedikit gegaran pada kenderaannya sebelum meneruskan perjalanan. Dia hanya memperlahankan kenderaan dipandunya apabila ada sebuah kenderaan lain di sebelah kiri membunyikan hon amaran.

“Sebaik dia memperlahankan kenderaannya, barulah dia menyedari terdapat sebuah kereta terseret di hadapannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya kenderaannya yang mengalami kerosakan.

Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

Kejadian itu turut tular selepas satu rakaman video mengenainya tersebar di media sosial.

10257 dibaca
Berita Harian X