Rabu, 14 Ogos 2019 | 8:02pm

Nelayan jumpa mayat wanita terapung

CHUKAI: Mayat seorang wanita lengkap memakai jaket keselamatan ditemui terapung kira-kira jam 5.4 batu nautika dari Kuala Kemaman, di sini pagi tadi oleh seorang nelayan tempatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah, berkata mayat itu ditemui kira-kira jam 11 pagi sebelum nelayan terbabit, Ahmad Fasri Ariffin, 44, menghubungi pihak berkuasa memaklumkan penemuan berkenaan.

“Sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kemaman pada jam 2 petang. Mayat berkenaan kemudian dibawa ke Jeti Maritim Malaysia kira-kira jam 4.40 petang sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

“Buat masa ini, belum dapat disahkan mayat itu adalah salah seorang daripada dua pelancong Singapura yang dilaporkan hilang ketika berkayak di sekitar Pulau Aceh, Endau di Mersing pada 8 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, bedah siasat akan dilakukan pakar perubatan pagi esok dan kita juga sudah memaklumkan penemuan mayat ini kepada semua Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK).

Sementara itu, Ahmad Fasri berkata, dia bersama juragannya dalam perjalanan pulang ke Kuala Kemaman sebelum melihat mayat wanita berkenaan terapung, dengan keadaan mukanya tidak lagi sempurna, selain sudah berbau.

“Saya mengikat mayat wanita itu dengan tali jaket keselamatan yang dipakainya dengan tali sebuah bubu dengan kuat supaya mayat itu tidak hanyut. Kemudian, kami bergegas ke jeti untuk memaklumkan penemuan itu sebelum kembali ke lokasi kejadian bersama anggota polis dan Maritim Malaysia,” katanya.

Dalam kejadian 8 Ogos lalu, dua pelancong Singapura hilang ketika berkayak bersama 15 rakan mereka di Perairan Mersing.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superintendan Mohd Nor Mohd Isa berkata, makluman awal kehilangan membabitkan lelaki dan wanita dikenali Tan Eng Soon, 62, serta Puah Geok Tin, 57.

1738 dibaca
Mayat seorang wanita lengkap memakai jaket keselamatan ditemui terapung kira-kira jam 5.4 batu nautika dari Kuala Kemaman, di Chukai pagi tadi oleh seorang nelayan tempatan. - NSTP/Rosli Ilham
Berita Harian X