Rabu, 14 Ogos 2019 | 7:48pm
ANGAH mengalami masalah tulang belakang bengkok selepas dipercayai sering dibuli tiga murid lain sejak tahun lalu di sebuah sekolah rendah di Ayer Hitam ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gerbi Kubang Sepat. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Dibuli sampai bengkok tulang belakang

JERLUN: Seorang murid Tahun Tiga sebuah sekolah di Ayer Hitam, di sini mengalami masalah tulang belakang bengkok selepas dipercayai sering dibuli tiga murid lain sejak tahun lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai Angah, 9, mendakwa dia sering ditendang di bahagian belakang dan paha selain diperas ugut supaya menyerahkan wang saku yang dibawa.

Dakwanya, ekoran wang sakunya sering dirampas, dia terpaksa meminta wang dari kakaknya berumur 11 tahun, yang turut belajar di sekolah sama untuk makan semasa waktu rehat.

“Pembuli terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki, malah mereka sering ejek dan hina dengan mengatakan bahawa bapa saya gila, manakala pakaian saya kotor tak dibasuh.

“Selepas itu, mereka akan meminta wang belanja saya antara RM1 hingga RM4, dan salah seorang daripadanya tendang saya di belakang badan dan paha.

“Mereka ugut kalau saya mengadu kepada cikgu, mereka akan putar belit dengan beritahu cikgu bahawa saya yang pinjam duit mereka,” dakwanya.

Angah berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gerbi Kubang Sepat, Ayer Hitam di sini, hari ini.

Dakwa Angah, tindakan mereka menyebabkan dia mengalami sakit belakang dan sukar berjalan selain mengalami tekanan dan enggan ke sekolah.

Sementara itu, ibu mangsa, yang dikenali sebagai Asma, 32, mendakwa, anaknya dipercayai mulai berjalan secara tidak normal sejak Jun lalu.

Katanya, dia sudah membawa Angah ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menjalani imbasan MRI (pengimejan resonans megnetik) dan X-ray semasa dimasukkan ke wad hospital berkenaan pada 15 sehingga 22 Julai lalu.

“Doktor memberitahu tulang belakangnya bengkok mungkin disebabkan ‘terhenyak’ dan tidak menolak terdapat faktor lain yang menyebabkan keadaan itu.

“Kini anak saya tidak dapat berjalan lama dan saya dan suami terpaksa mendukungnya untuk ke mana-mana.

“Bahagian belakang tubuhnya juga kelihatan merah serta benjol dan kami berasa sangat sedih melihat keadaannya sekarang.

“Sebelum ini, saya sudah beberapa kali berjumpa guru di sekolah berkenaan, namun seperti tidak diendahkan apabila mereka hanya memberi jawapan akan siasat dan pantau sahaja.

“Lebih menyedihkan lagi, terdapat guru yang memberi gambaran negatif terhadap suami saya ekoran dia mengalami masalah kesihatan mental iaitu skizofrenia,” dakwanya.

Asma yang juga kakitangan sebuah hospital di Alor Setar berkata, Angah dijangka menjalani pembedahan dalam tempoh dua minggu lagi.

Dakwanya, sehingga kini tiada seorang guru pun datang menjenguk Angah untuk bertanya khabar.

Sementara itu, bapa mangsa, Ahmad, 33, meluahkan rasa kecewa apabila anaknya turut terkena tempias ekoran penyakit yang dihidapinya.

Dakwanya, pihak sekolah terbabit sepatutnya bersikap lebih profesional tanpa mengaitkan kes buli Angah dengan latar belakang kesihatannya.

“Isteri saya sudah membuat laporan polis mengenai kejadian ini Isnin lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.

“Saya turut membuat laporan fitnah berhubung seorang guru terhadap saya di Balai Polis Ayer Hitam, semalam.

“Saya harap anak saya mendapat pembelaan sebaiknya daripada pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memandangkan anak saya mungkin tidak lagi dapat berjalan normal seperti orang lain,” dakwanya yang juga seorang pesara polis.

Sementara itu, nasib menimpa Angah mendapat perhatian EXCO Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), yang juga Pegawai Psikologi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, CR Wan Su Haron.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia, Dr Salmee Said ketika dihubungi berkata beliau akan memaklumkan isu terbabit kepada JPN dengan segera.

“Saya terkejut dan tidak tahu-menahu akan isu ini, namun akan berhubung dengan JPN supaya supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya.

Berita Harian X