Rabu, 14 Ogos 2019 | 7:45pm

Polis gagalkan cubaan dua lelaki ragut suri rumah

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menggagalkan satu cubaan ragut oleh dua lelaki ke atas seorang suri rumah yang berlaku di hadapan sebuah pasar raya di Taman Connaught, Cheras di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam itu, mangsa yang berusia 21 tahun berada dalam keretanya ketika dihampiri dua lelaki bermotosikal.

Salah seorang suspek kemudian membuka pintu kereta dan meragut beg tangan serta telefon bimbit mangsa sebelum seorang lagi suspek terus menumbuk pipi wanita itu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata mangsa yang kesakitan cuba melawan dengan menendang pintu kereta ke arah suspek.

“Tindakan itu menyebabkan salah seorang suspek berang dan mengeluarkan parang sebelum mengacu senjata tajam itu ke arah mangsa.

“Kebetulan sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang sedang melakukan rondaan ternampak insiden berkenaan dan bergegas memberi bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri namun salah seorang daripadanya berjaya ditangkap.

Bagaimanapun, katanya seorang lagi suspek berjaya melarikan diri sebaik merempuh MPV polis dengan motosikal ditunggangnya.

“Semakan mendapati suspek yang juga lelaki tempatan berusia 34 tahun itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif Amphetamine dan Methamphetamine.

“Kita turut merampas motosikal Yamaha Y15ZR yang didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu, sebilah parang, satu gergaji besi dan beberapa lagi barangan milik suspek,” kata Mohamed Mokhsein.

Tambahnya, pemeriksaan ke atas suspek menemui satu paket plastik disyaki berisi 1.5 gram dadah jenis methamphetamine dan sebiji pil dipercayai Erimin 5 yang dibungkus dalam kertas aluminium.

“Kita turut mendapat semula beg tangan mangsa yang berisi dokumen pengenalan diri serta wang tunai RM670 yang cuba dilarikan suspek.

“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 20 Ogos depan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Gerakan mengesan seorang lagi suspek sedang giat dijalankan,” katanya lagi.

626 dibaca
Berita Harian X