Rabu, 14 Ogos 2019 | 6:08pm

Hilang ketika berkayak: Mayat wanita ditemui di perairan Kemaman

MERSING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menemui mayat disyaki seorang wanita memakai jaket keselamatan terapung di perairan Kemaman, Terengganu.

Bagaimanapun, Pengarah Maritim Malaysia Zon Mersing, Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah, berkata sehingga kini belum dapat disahkan identitinya sama ada berkait dengan kes dua warga Singapura yang dipercayai hilang ketika berkayak di perairan Endau, dekat sini, Khamis lalu.

“Mayat ditemui kira-kira lima batu nautika dari Zon Maritim Kemaman, Terengganu, selain sudah tiba pada jam 4.30 petang tadi, di Zon Maritim Kemaman.

“Waris sudah dimaklumkan dan akan bergerak ke Kemaman, Terengganu, bagi membuat pengecaman mayat terbabit.

“Mayat dengan kayak (penemuan petunjuk semalam) yang dijumpai kira-kira 18 batu nautika, manakala jarak daripada posisi yang dilaporkan hilang hingga ke posisi yang dijumpai hampir 100 batu nautika.

“Mayat dijumpai oleh nelayan tempatan kira-kira jam 12.50 petang tadi,” katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Penyabong Mersing dekat sini, hari ini.

Beliau berkata pencarian di pulau persekitaran dihentikan selepas lapan pulau ‘hotspot’ yang pihaknya pergi melakukan pencarian, namun tidak menemui apa-apa.

“Sektor pencarian digerakkan sehingga ke perairan Kemaman, Terengganu dari Kuala Rompin yang mana untuk aset laut akan membabitkan 400 batu nautika persegi.

“Buat masa ini, Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Penyabong Mersing tidak akan menukar lokasi,” katanya.

2504 dibaca
PENGARAH Maritim Malaysia Zon Mersing, Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah (dua dari kiri) menunjukkan kayak yang dipercayai milik dua warga Singapura yang hilang semasa berkayak ketika sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Penyabong, Mersing. - Foto Nurul Amanina Suhaini
Berita Harian X