Rabu, 14 Ogos 2019 | 5:41pm

KDN gantung permit: The Edge dapat ganti rugi tambahan RM500,000

KUALA LUMPUR: The Edge Communications Sdn Bhd (The Edge), hari ini memperoleh ganti rugi tambahan RM500,000 daripada kerajaan kerana hilang pendapatan akibat tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung penerbitan dua akhbar harian syarikat itu pada 2015.

Keputusan dibuat Mahkamah Tinggi di sini yang membenarkan rayuan dikemukakan syarikat itu sebagai tambahan ganti rugi berjumlah RM11.26 juta diberikan mahkamah sebelum ini.

Ganti rugi itu berikutan syarikat terbabit hilang pendapatan akibat tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung penerbitan dua akhbar harian terbitannya selama tiga bulan kerana melaporkan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada 2015.

Hakim Datuk Nordin Hassan berkata, ganti rugi teladan berjumlah RM500,000 adalah berpadanan dengan kerugian dialami syarikat berkenaan.

“Terdapat keadaan luar biasa bagi mahkamah untuk memberikan ganti rugi teladan dipohon pemohon kerana terkesan dengan tindakan tidak berperlembagaan responden (KDN) menggantung penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan dari 27 Julai 2015.

“Bagaimanapun, mahkamah menolak ganti rugi kerosakan dan pampasan dituntut The Edge kerana berpendapat tidak wajar,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar kos sebanyak RM15,000 kepada The Edge.

Pada 17 Disember 2018, Mahkamah Tinggi memerintahkan ketua setiausaha KDN dan Menteri Dalam Negeri selaku responden, membayar ganti rugi RM11.26 juta kepada The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selaku pemohon.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua reponden membayar faedah sebanyak empat peratus bermula 27 Julai 2015 sehingga penyelesaian penuh kes itu.

Terdahulu pada 9 Ogos 2017, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa The Edge boleh menuntut ganti rugi daripada Menteri Dalam Negeri untuk kerugian dialami berhubung penggantungan dua penerbitannya itu.

Keputusan dibuat selepas mahkamah berkenaan menolak rayuan Menteri Dalam Negeri dan ketua setiausaha KDN untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan The Edge menuntut ganti rugi daripada kedua-dua pihak.

Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi.

Perintah penggantungan permit The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 21 September 2015, yang membenarkan permohonan The Edge untuk permohonan semakan kehakiman bagi mencabar.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan penilaian taksiran ganti rugi yang dialami The Edge dibuat dan pada 30 Ogos 2016, Mahkamah Rayuan menolak rayuan KDN terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

The Edge memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 27 Julai 2015 terhadap kedua-dua responden bagi mendapatkan perintah supaya mahkamah menolak keputusan Menteri Dalam Negeri menggantung permit kedua-dua penerbitan itu.

Berita Harian X