Rabu, 14 Ogos 2019 | 5:23pm
- Foto hiasan

Pasangan tunang, rakan lepas tali gantung

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepaskan dan membebaskan sepasang tunang serta rakan mereka daripada tuduhan mengedar dadah Februari tahun lalu.

Berikutan itu, Kamarul Izwan Rasidi, 28 dan tunangnya Nursyuhadah Md Zain, 28, serta Amaluddin Gulam Mohamad, 26, terlepas daripada hukuman gantung.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman, ketika membaca penghakimannya, berkata pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Katanya, pegawai penyiasat juga tidak bersikap prihatin dalam melakukan penyiasatan hingga menjadi tidak lengkap, kukuh dan terperinci.

“Pegawai penyiasat mengakui tidak boleh memadankan tujuh kesan cap jari yang ditemui di lokasi kejadian dengan ketiga-tiga tertuduh disebabkan masalah sistem dan perlu dihantar ke forensik.

“Pengesanan di bahagian forensik juga dilakukan dua hari sebelum perbicaraan kes berakhir pada Julai lalu,” katanya

Mengikut pertuduhan, semua mereka didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu seberat 512 gram kanabis di tepi jalan PJS 8/5 Sunway Mentari, Petaling Jaya, kira-kira jam 9 malam, 9 Februari 2018.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama dan jika sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Awaluddin diwakili peguam Datuk N Sivananthan dan Dhanyaa Shreeya manakala Kamarul Izwan diwakili peguam Mohamad Hafiz Jalaludin serta Mohamad Salihen Mastor sementara Nursyuhadah diwakili peguam Gerard Lazarus.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zuraini Abdul Razak.

Sepanjang kes berjalan bermula 13 Mei lalu, empat saksi pendakwaan dipanggil dan 24 bahan bukti dikemukakan kepada pihak mahkamah.

1334 dibaca
Berita Harian X