Rabu, 14 Ogos 2019 | 3:53pm
JABATAN Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk serbuk kuning telur tanpa dokumen yang sah seperti Import Permit (IP) di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), Butterworth. NSTP/IHSAN MAQIS

MAQIS Pulau Pinang rampas serbuk kuning telur tanpa permit sah

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas serbuk kuning telur dari India yang dibawa masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah seperti tiada import permit (IP) di Pelabuhan Dermaga Dalam (DAD), di sini, semalam.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, pihaknya membuat pemeriksaan jam 5 petang dan mendapati sebanyak 750 kilogram (kg) serbuk kuning telur dianggarkan bernilai RM17,909.66 cuba dibawa masuk tanpa dokumen sah.

“MAQIS mengeluarkan kompaun kepada pengimport tersebut setelah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya serta peringatan supaya mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah serius dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam keselamatan makanan.

Katanya, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan dan tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Sementara itu, Zarina berkata pihaknya juga berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk produk hasilan haiwan dari pelbagai negara tanpa dokumen sah seperti IP dan sijil kesihatan dari negara asal di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan sepanjang bulan Julai sehingga semalam, pihaknya membuat rampasan pelbagai daging haiwan seperti daging babi, itik, lembu dan kambing.

“Perbuatan mengimport produk hasilan haiwan tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan menurut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, rampasan produk daging itu adalah untuk mencegah penularan penyakit seperti virus African Swine Fever (ASF) yang boleh disebarkan melalui babi hidup, daging babi segar, babi sejuk beku, daging babi proses seperti babi salai, sosej dan sebagainya.

“Semua rampasan itu dihantar ke Stesen Kuarantin Haiwan (SKH) Batu Maung untuk tindakan pelupusan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya. - BERNAMA

258 dibaca
Berita Harian X