Rabu, 14 Ogos 2019 | 3:21pm
INSIDEN seorang lelaki yang bertindak agresif apabila cuba melanggar beberapa anggota polis yang ingin membuat pemeriksaan ke atas kereta yang dipandunya dalam kejadian berhampiran pasar di Jalan Muthu Palaniappan, di sini, kira-kira jam 4.30 petang semalam. - Foto ihsan PDRM

Lelaki cuba langgar anggota polis diburu

BUKIT MERTAJAM: Polis mengesan seorang lelaki yang bertindak agresif apabila cuba melanggar anggota polis yang hendak membuat pemeriksaan ke atas kereta yang dipandunya dalam kejadian berhampiran pasar di Jalan Muthu Palaniappan, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, anggota polis yang sedang melakukan tugas rondaan cegah jenayah melihat sebuah kereta jenis Perodua Myvi berada dalam keadaan mencurigakan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mustafa Bidin, berkata anggota kemudian menghampiri kenderaan berkenaan dan memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa kepada pemandu kereta terbabit.

Bagaimanapun, katanya, pemandu lelaki berusia 31 tahun yang membawa seorang penumpang bertindak agresif untuk meloloskan diri dengan cuba melanggar anggota polis yang ingin membuat pemeriksaan.

“Anggota polis yang terkejut dengan tindakan lelaki itu pantas mengelakkan diri daripada dilanggar.

“Mereka kemudian mengejar kenderaan itu dan berjaya menghentikannya berhampiran sebuah rumah kedai sebelum bertindak menahan penumpang kereta terbabit, manakala pemandunya didapati meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mustafa berkata, kejadian itu mengakibatkan beberapa kereta dan motosikal yang diparkir berhampiran kawasan kejadian mengalami kerosakan akibat dilanggar kenderaan suspek yang melarikan diri dari pemeriksaan polis.

“Siasatan terhadap penumpang yang ditahan mendapati kenderaan dipandu rakannya yang masih bebas itu adalah kereta sewa. Mereka menyewanya sejak Selasa minggu lalu.

“Pemeriksaan anggota badan pula tidak menemui sebarang benda salah, namun ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah,” katanya.

Mustafa berkata, suspek yang ditahan turut memiliki empat rekod jenayah lampau dan rakannya yang masih bebas mempunyai lima rekod jenayah lampau.

Katanya, polis masih memburu pemandu lelaki berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X