Rabu, 14 Ogos 2019 | 2:25pm
BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Sairien Nafis

Kes Zahid ditangguh hingga 17 September

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, menetapkan 17 September depan bagi mendengar notis usul berkenaan pemindahan kes difailkan pihak pendakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Usul membabitkan pemindahan 33 pertuduhan rasuah dihadapi Ahmad Zahid itu bagi dibicarakan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Gan Peng Kun memohon penangguhan bagi mendapatkan keputusan permohonan semakan difailkan pihaknya minggu lalu dan dijangka dibacakan pada 28 Ogos ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Permohonan itu dibuat untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Julai lalu yang membenarkan tujuh pertuduhan rasuah dihadapi Ahmad Zahid dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Rozilah turut menetapkan jaminan terhadap Ahmad Zahid berjumlah RM200,000 seperti diputuskan mahkamah terdahulu, dikekalkan.

Tiada bantahan pihak pembelaan diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zain dan Hisyam Teh Poh Teik.

Pada prosiding hari ini juga, Presiden UMNO itu sekali lagi tidak mengaku bersalah terhadap tujuh tuduhan menerima rasuah berjumlah S$4.24 juta (anggaran RM1=S$3.06) .

Mengikut semua pertuduhan, wang berkenaan diterima daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).

Ahmad Zahid dituduh melakukan perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 hingga 2 Mac 2018.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan itu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pada 27 Jun lalu, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan menerima suapan RM42.76 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.

Berita Harian X