Rabu, 14 Ogos 2019 | 12:39pm

Wanita mangsa kes buli jalan raya buat tindakan bijak

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang pelajar wanita terus menuju ke balai polis selepas diancam oleh seorang lelaki dipercayai samseng jalan raya berjaya mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.

Dalam kejadian jam 2.30 petang Sabtu lalu, mangsa yang memandu kereta dan dalam perjalanan ke Johor, dilaporkan terlanggar sebuah kereta di hadapannya yang berhenti secara mengejut berhampiran bulatan Cheras di Jalan Yaacob Latif.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata seorang lelaki, juga pemandu kereta yang dilanggar, kemudian turun dan memarahi mangsa dengan kata-kata kesat.

“Lelaki terbabit turut menumbuk cermin sisi kereta mangsa sehingga patah dan membaling semula cermin sisi berkenaan ke arah kereta mangsa.

“Akibat rasa takut dan bimbang akan berlaku perkara lebih buruk sekiranya terus berada di lokasi kejadian, wanita terbabit kemudian memandu dan menuju ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata semasa kejadian itu juga, penumpang di sebelah mangsa turut sempat merakam tindakan lelaki yang cuba mengancamnya.

“Hasil daripada maklumat wanita terbabit mengenai jenis dan nombor pendaftaran kenderaan lelaki yang mengancamnya, berjaya membolehkan suspek dikenal pasti dalam kadar segera,” katanya.

Katanya lelaki berusia 27 tahun itu kemudian datang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, petang semalam dan ditahan reman serta disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata apa yang dilakukan wanita ini amat wajar kerana dia cuba menyelamatkan diri dan penumpang dalam keretanya dari sebarang kejadian tidak diingini selepas melihat lelaki terbabit bertindak agresif.

19522 dibaca
RAKAMAN lelaki yang memecahkan cermin sisi kereta dipandu mangsa. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X