Rabu, 14 Ogos 2019 | 10:51am
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Muhyiddin sedih kematian Nora Anne

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin melahirkan rasa sedih dengan penemuan mayat remaja warga Ireland. Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu.

Menerusi kenyataan ringkas, Muhyiddin turut melahirkan simpati dengan apa yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang.

“Saya berasa sedih dengan perkembangan terkini kehilangan remaja Ireland, Nora Anne Quorin, dari resort penginapan keluarganya sejak Ahad lalu, yang berakhir dengan penemuan mayatnya.

“Saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku dan ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang atas musibah yang menimpa.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan semua pihak yang terbabit dalam usaha-usaha pencarian termasuk pasukan sukarelawan yang membantu,” katanya.

Semalam keluarga Nora Anne mengesahkan mayat perempuan yang ditemui pada jam 1.57 tengah hari semalam adalah ahli keluarga mereka yang dilaporkan hilang dari sebuah pusat peranginan di Pantai, di sini sejak 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, dilaporkan berkata pengesahan itu diperoleh selepas anggota keluarga membuat pengecaman mayat di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Mayat Nora Anne ditemui di kawasan berlurah dekat anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort dia dilaporkan hilang selepas 10 hari SAR dijalankan

Mayat tanpa pakaian tetapi dalam keadaan sempurna itu ditemui oleh sepasukan pendaki sukarelawan yang menyertai operasi SAR.

Mayat itu kemudian dibawa keluar menggunakan helikopter dan terus diterbangkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Berita Harian X