Selasa, 13 Ogos 2019 | 9:27pm
KEJADIAN yang dipercayai berlaku di Lebuhraya Second Link Iskandar Puteri - Tuas di sini, malam tadi, membabitkan seorang pemandu lelaki warga Singapura yang dipukul dua lelaki dipercayai penumpang dan pemandu bas. NSTP/Viral Media Sosial

Lelaki dibelasah selepas terlanggar kereta di Lebuhraya Linkedua

ISKANDAR PUTERI: Satu rakaman video memaparkan insiden pergaduhan membabitkan tiga lelaki yang tular di media sosial sejak semalam dipercayai berlaku di Laluan Kedua Malaysia - Singapura (Lebuhraya Linkedua), di sini.

Dalam rakaman video berdurasi 19 saat itu, seorang lelaki dilihat menumbuk dan menendang seorang lelaki yang mahu keluar dari keretanya, manakala rakannya menghempas kuat pintu kereta berkenaan pada badan mangsa sebelum terduduk dalam keadaan tidak bermaya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.37 pagi tadi.

Katanya, laporan dibuat oleh mangsa yang seorang lelaki warga Singapura berusia lingkungan 30-an, mendakwa dipukul seperti dipaparkan dalam rakaman video berkenaan.

“Kejadian itu disahkan berlaku dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, siasatan awal mendapati,kejadian dipercayai berpunca akibat pelanggaran kenderaan menyebabkan mangsa dimarahi dan dibelasah sebelum suspek beredar.

Katanya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan.

18615 dibaca
Berita Harian X