Selasa, 13 Ogos 2019 | 4:18pm
Saksi pendakwaan ke-57 Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Hussain hadir pada sesi perbicaraan kes SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Selepas rakam percakapan, Jho Low dan Nik Faisal hilang sampai sekarang

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menemui bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil dan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low di luar negara serta merakamkan percakapan kedua-dua individu terbabit.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Hussain memberitahu Mahkamah Tinggi, Nik Faisal dan Jho Low berjaya ditemui pada 2015, masing-masing di Jakarta, Indonesia dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Saksi pendakwaan ke-57 itu berkata, pihaknya merakamkan percakapan Nik Faisal di Jakarta pada 17 Oktober 2015 dan Jho Low di Abu Dhabi pada 27 November tahun sama.

Beliau berkata, disebabkan berjaya merakamkan percakapan daripada kedua-dua individu terbabit, pihaknya percaya Nik Faisal dan Jho Low akan kembali ke Malaysia bagi memberikan keterangan.

Rosli yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff pada sesi pemeriksaan utama berkata, susulan itu, pihaknya tidak meletakkan Nik Faisal dan Jho Low di bawah bon jaminan.

Bagaimanapun, Nik Faisal dan Jho Low sehingga kini berjaya melarikan diri dan gagal dikesan pihak berkuasa.

Terdahulu, Rosli berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati Nik Faisal meninggalkan negara pada 7 Mei 2018, manakala Jho Low pula pada 29 Mei 2015.

Katanya, usaha mengesan kedua-dua individu berkenaan di pejabat dan alamat kediaman terakhir masing-masing menemui kegagalan.

“Usaha mengesan Nik Faisal dengan pergi ke pejabatnya di Shah Alam Pada 21 Mei 2018, namun saya dapati seorang saja pekerja di situ dan memberitahu Nik Faisal keluar negara dan tidak balik.

“Usaha diteruskan di kediamannya di Jalan Maarof Bangsar juga tidak berjaya.

“Pegawai saya yang mengesan Jho Low di kediaman di Tanjung Bungah, Pulau Pinang mendapati beliau tiada di situ dan usaha mengesan bapa dia juga tidak berjaya,” katanya

Rosli berkata, waran tangkap terhadap Nik Faisal dan Jho Low dikeluarkan pada 22 Mei 2018 bagi mendapatkan bantuan polis antarabangsa (Interpol) menahan kedua-dua mereka.

3511 dibaca
Berita Harian X