Isnin, 12 Ogos 2019 | 5:15pm
Rangka manusia dengan kesan terbakar yang dijumpai di Jalan Pelabuhan dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS). - NSTP/Ihsan PDRM

Mahu cari besi buruk, terjumpa rangka manusia

KUCHING: Hasrat dua lelaki mencari besi buruk terbantut selepas menemui rangka manusia dalam keadaan rentung dan terbakar di Jalan Pelabuhan, Pending, di sini malam tadi.

Terkejut dengan penemuan itu, seorang daripadanya membuat laporan polis kira-kira jam 1 pagi tadi untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau berkata, rangka itu ditemui kira-kira jam 11 malam oleh seorang peniaga besi buruk dan rakannya di kawasan belukar berhampiran Jambatan Pending.

“Berdasarkan laporan polis diterima, mereka menemui tulang dan tengkorak manusia dalam guni, dengan keadaannya rentung serta mempunyai kesan terbakar.

“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati bahagian tulang yang dapat dikenal pasti adalah tulang kaki, pinggul dan kepala,” katanya.

Awang Din berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di sekitar lokasi kejadian.

“Kes masih di dalam siasatan dan identiti mangsa belum dapat dikenal pasti. Kes sedang disiasat Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Rangka itu sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X