Isnin, 12 Ogos 2019 | 5:08pm
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan sekitar rumah wanita warga emas, P Runkanaikey yang maut selepas ditetak lima lelaki bertopeng di rumahnya di Kampung Tebuk Pulai. NSTP/Ihsan POLIS

Nenek mati ditetak, cucu parah

SABAK BERNAM: Seorang wanita warga emas maut ditetak sekumpulan lima lelaki di rumahnya di Batu 2 1/2 Kampung Tebuk Pulai, di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu turut menyebabkan cucu lelakinya yang berusia 22 tahun cedera.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon, berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada jiran mangsa mengenai kejadian membabitkan P Runkanaikey, 78, dan cucunya, N Silamparasan.

Katanya, siasatan awal mendapati cucu mangsa yang bekerja sebagai penjual kelapa menyedari kehadiran seseorang di hadapan rumah yang didiami bersama neneknya sebelum cuba mengejutkan wanita itu yang tidur dalam bilik.

“Sebelum sempat mengejutkan neneknya, suspek sudah memecah masuk melalui pintu hadapan rumah berkenaan, menyebabkan cucu mangsa menyembunyikan diri di bawah katil.

“Suspek kemudian menetak wanita itu terlebih dahulu sehingga mati dan ketika mangsa lelaki mahu melarikan diri, dia juga ditetak sehingga cedera parah.

“Wanita warga emas itu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala cucunya dikejarkan ke Hospital Sabak Bernam untuk rawatan kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Chee Khoon berkata, siasatan awal mendapati dompet, rantai emas, wang tunai serta sebuah kenderaan jenis Ford Ranger milik mangsa, tidak dilarikan oleh suspek.

Katanya, Runkanaikey meninggal dunia kerana cedera parah pada kepala, telinga kanan, tangan kiri dan lutut kiri, manakala cucunya parah bahagian lengan, paha dan betis kiri serta tapak kaki kanan.

“Mangsa kedua mengesahkan dia nampak lima lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang ketika kejadian dan mereka melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Toyota Vios warna kelabu.

“Bagaimanapun, mangsa tidak dapat memastikan nombor pendaftaran kereta berkenaan. Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca serangan dan identiti suspek,” katanya.

Berita Harian X