Isnin, 12 Ogos 2019 | 10:05am
KETUA Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar menunjukkan peta operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin di sebuah resort di Pantai, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Nora Anne: Media dipelawa sertai SAR hari kesembilan

NILAI: Pengamal media buat pertama kalinya selepas sembilan hari berkampung di Pantai, Seremban bagi liputan kes kehilangan remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, diajak untuk bersama-sama menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) gadis itu.

Pelawaan berkenaan dibuat Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar kepada petugas media pada pagi ini menerusi aplikasi WhatsApp.

“Salam.. Media yang nak cover Op SAR boleh tunggu di kaki Gunung Berembun,” katanya ringkas.

Sebelum ini, pengamal media hanya menunggu di khemah yang disediakan berhampiran pintu resort remaja berkenaan dilaporkan hilang dan juga Balai Polis Pantai, Seremban.

Sementara itu, sidang media berkaitan operasi berkenaan dijangka akan diadakan pada jam 5 petang ini di Balai Polis Pantai, Seremban.

Operasi bagi mengesan Nora Anne yang memasuki hari kesembilan hari ini, setakat semalam membabitkan 296 anggota.

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada pukul 8 pagi hari berikutnya. - BERNAMA

Berita Harian X