Ahad, 11 Ogos 2019 | 10:18pm
Mayat Azimat Hassan dibawa ke Forensik Hospital Sultanah Bahiyah. - NSTP/Ihsan BOMBA

Nelayan terjatuh ketika ribut ditemui lemas

JITRA: Nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut ketika ribut di Jeti Tok Arab, Jerlun, kelmarin ditemui terapung dan tersangkut pada tambak pantai di Kuala Kuar, di sini.

Mayat Azimat Hassan, 62, ditemui pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang membuat rondaan di kawasan pantai pada jam 7.05 malam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata mayat mangsa ditemui kira-kira empat batu nautika dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut pada jam 7.40 malam.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini bermula sejak semalam dan disertai pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika dihubungi.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi itu menggunakan aset dari pelbagai agensi yang terbabit termasuk bantuan bot nelayan berhampiran.

BH sebelum ini melaporkan pada jam 9.21 malam kelmarin, bot fiber yang dinaiki Azimat bersama anaknya, Mohd Suhaimi Azimat, 27, dipukul ombak besar menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam laut ketika kejadian ribut.

Bagaimanapun, anak mangsa berjaya menyelamatkan diri walaupun hampir terjatuh dan meneruskan perjalanan pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung dan pasukan penyelamat.

Berita Harian X