Ahad, 11 Ogos 2019 | 3:30pm
SEBUAH kereta jenis Perodua Bezza yang terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 114, Jalan Kuantan-Segamat. NSTP/Ihsan BOMBA PAHANG

Suami isteri maut, 6 cedera kemalangan 3 kenderaan

ROMPIN: Pasangan suami isteri maut, manakala enam yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 114 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Muadzam Shah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Sidah Ibrahim, 55, penumpang belakang kereta jenis PERODUA Bezza maut di tempat kejadian, manakala suaminya, Salleh Awang Kechik, 59, duduk di bahagian penumpang hadapan meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Muadzam Shah, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata siasatan awal mendapati kenderaan jenis Nissan Sentra dipandu dari arah Segamat, Johor, memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian sisi kanan PERODUA Bezza dinaiki mangsa.


KEPEMIMPINAN UMNO dan PAS bertemu di kediaman Ahmad Zahid bagi memperhalusi piagam yang akan ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September ini. - Foto FB Zahid Hamidi

Katanya, akibat pelanggaran itu, PERODUA Bezza yang dipandu anak kepada suami isteri itu, Siti Aisyah, 27, dari arah Kuantan hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta jenis Honda Civic.

“Kereta PERODUA Bezza itu kemudian terbabas ke dalam kawasan curam di bahu jalan sebelah kanan menghala ke arah Segamat. Akibat kemalangan itu, pasangan suami isteri berkenaan disahkan meninggal dunia.

“Enam mangsa turut cedera dan dirawat di Hospital Muadzam Shah, manakala pemandu Nissan Sentra tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Kamarulzaman berkata, mangsa yang dirawat ialah Siti Aisyah yang cedera pada bahagian muka dan adiknya, Muhammad Zaim, 10, cedera di bahagian badan.

Selain itu, katanya, pemandu Honda Civic, Mohd Faiz Ibrahim, 39, patah bahu kanan; isterinya, Siti Noraizan Najid, 38, cedera di muka dan dua anak mereka ,Muaz Azfar, 5, serta Filza Alia, 3, masing-masing cedera di badan.

Beliau berkata, dua mayat berkenaan sudah selesai dibedah siasat dan diserahkan kepada pihak keluarga bagi urusan pengebumian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

2680 dibaca
Berita Harian X