Ahad, 11 Ogos 2019 | 1:21pm
PENGAMAL media berkongsi juadah sempena Hari Raya Aidiladha bersama anggota SAR di sebuah resort di Pantai, Seremban. - Foto Adzlan Sidek
PENGAMAL media berkongsi juadah sempena Hari Raya Aidiladha bersama anggota SAR di sebuah resort di Pantai, Seremban. - Foto Adzlan Sidek

Nora Anne: Petugas media raikan Aidiladha di lokasi

SEREMBAN: Pengamal media yang bertugas membuat liputan operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang di sebuah resort di Pantai, di sini, sejak 4 Ogos lalu, menyambut Aidiladha bersama di lokasi kejadian.

Beberapa petugas media tempatan turut membawa juadah raya seperti rendang, lemang, nasi impit, roti canai dan kuih raya untuk dikongsi bersama sambil menunggu maklumat terkini daripada pihak berkuasa.

Juadah itu juga dikongsikan bersama petugas media antarabangsa dan anggota SAR yang turut berada di depan pintu masuk pusat peranginan berkenaan.

Terdahulu, lebih 20 petugas media tempatan dan antarabangsa dilihat berkumpul di kawasan berkenaan bermula jam 9 pagi sebaik anggota SAR dan penduduk setempat selesai menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Kariah Pantai, di sini.

Nora Anne yang mengalami masalah lembam sebelum ini dilaporkan hilang ketika menginap di sebuah resort di Pantai di sini pada 4 Ogos lalu sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi SAR di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, operasi SAR yang memasuki hari ketujuh semalam masih gagal mengesan mangsa. Operasi SAR pada pagi ini diteruskan walaupun keadaan hujan.

Petugas media bagaimanapun, dihalang memasuki kawasan resort itu sejak hari pertama kes dilaporkan dan hanya boleh menunggu di depan pintu masuk.

2435 dibaca
Berita Harian X