Ahad, 11 Ogos 2019 | 12:10pm

Lima nelayan Brunei hanyut dipercayai lemas, seorang disahkan meninggal dunia

KOTA KINABALU: Lima kru kapal nelayan dari Brunei dipercayai lemas manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital selepas bot yang mereka naiki tenggelam dipukul ombak dan hanyut sehingga ke perairan negara, Rabu lalu.

Setakat ini, hanya seorang mangsa, Sakur Ahing Juplin, 39, disahkan selamat dan sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2) selepas dia dan rakannya diselamatkan nelayan tempatan di perairan Pulau Tiga, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, rakannya yang masih belum diketahui identiti itu kemudian disahkan meninggal dunia pagi semalam di hospital sama.

Difahamkan, menurut Sakur yang juga warga Filipina, kejadian berlaku disebabkan bot mereka dimasuki air kerana ombak yang kuat sebelum tenggelam.

Empat kru tenggelam bersama bot dan tujuh lagi terjun ke laut untuk menyelamatkan diri dan pada hari kedua kejadian, lima daripadanya meninggal dunia dan tenggelam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Hassan, berkata kawasan pencarian tertumpu di kawasan Pulau Tiga.

“Tiada penemuan positif oleh aset yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan Jawatankuasa Penyelaras Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (NRCC) SAR kerajaan Brunei menamatkan pencarian pada jam 6.40 petang, semalam,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Bagaimanapun, menurut Kamaruszaman, SAR akan diaktifkan semula apabila ada petunjuk baharu berhubung mangsa yang hilang.

Sementara itu, Pusat Operasi Menyelamat Maritim (MRCC) Kota Kinabalu dimaklumkan antara nama kru yang masih belum ditemui adalah juragan, Naseer ketugi Abdullah, 39; Sarri Ahing Ibno, 50; Anthony Tomales Dionaldo, 51; Nor Jehad Makakena Abdullah, 27 dan Cesar Masalihit LLung, 54; Idris, 43; Mujib Intimani Alli, 43; Agus Hariyanto, 39; Rusli Yusanto, 38, dan Glori Dwi Santoso, 24, masih hilang.

Semua kru terbabit adalah terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia.

Jumaat lalu, media melaporkan, Maritim Malaysia menerima maklumat daripada NRCC kerajaan Brunei bahawa sebuah bot nelayan mereka dikhuatiri hanyut ke perairan Malaysia.

Dua daripada 11 kru diselamatkan nelayan tempatan dan salah seorang daripada dilihat dalam keadaan lemah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X