Sabtu, 10 Ogos 2019 | 3:15pm

Pelayan restoran ditahan selepas suruh budak 7 tahun sentuh kemaluan

SHAH ALAM: Seorang pelayan restoran warga India ditahan polis selepas dipercayai menyuruh seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun menyentuh kemaluannya, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Baharudin Mat Taib, berkata dalam kejadian pada jam 9.30 malam itu, lelaki berusia 23 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan terbabit di dalam tandas di restoran berkenaan, di Seksyen 19, di sini.

Katanya, sebelum kejadian, ibu kanak-kanak berkenaan bersama-sama mangsa berada di restoran itu untuk makan.

Beliau berkata, selepas kejadian, kanak-kanak berkenaan memaklumkan kepada ibunya sebelum wanita itu menghubungi suaminya yang berusia 31 tahun, yang kemudian bergegas ke restoran terbabit.

“Laporan polis dibuat bapa tiri mangsa pada jam 10.33 malam. Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di restoran itu mendapati sebelum kejadian, mangsa ke sinki berdekatan tandas sebelum suspek dilihat turut ke arah sama, namun tiada liputan CCTV di kawasan tandas.

“Menurut mangsa, ketika membasuh tangan di sinki, suspek menarik tangannya masuk ke dalam tandas sambil mengatakan ‘masuklah’. Suspek mengunci pintu tandas dan duduk mencangkung dan meminta mangsa duduk atas paha kanannya, sebelum meminta mangsa meletakkan kaki kanak-kanak itu pada kemaluannya.

“Suspek tidak membuka seluarnya serta tidak berbuat apa-apa yang lain terhadap mangsa. Selepas kira-kira tiga minit, suspek menyuruh mangsa berhenti meletak kaki pada kemaluannya dan menyuruh mangsa keluar sebelum dia sendiri keluar dari tandas itu kira-kira 10 minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baharudin berkata, siasatan juga mendapati mangsa tidak membuka dan diminta membuka pakaiannya atau suspek menyentuh kemaluan mangsa.

“Suspek sudah ditahan selepas kejadian itu dilaporkan dan ditahan reman sehingga 14 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017,” katanya.

Sementara itu, kes berkenaan tersebar melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp yang dikatakan melalui datuk kanak-kanak itu yang menceritakan apa yang berlaku kepada kanak-kanak itu. Turut disebarkan gambar seorang lelaki warga asing, dipercayai suspek.

Berita Harian X