Sabtu, 10 Ogos 2019 | 2:58pm
ANGGOTA dari Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mengambil masa lebih empat jam untuk membawa keluar seorang lelaki Mohamad Izha Mohd Saai, 30, yang parah selepas tergelincir ketika sedang mendaki di tingkat 19 air terjun dan jatuh di atas batu pada ketinggian kira-kira tujuh meter di Air Terjun Jerangkang. NSTP/Ihsan BOMBA PAHANG

Bomba selamatkan juruteknik operasi terjatuh di Air Terjun Jerangkang

KUANTAN: Pasukan bomba berjaya membawa turun seorang lelaki yang cedera ketika mendaki di Tingkat 19 Air Terjun Jerangkang, dekat sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad, berkata mangsa dikenali sebagai Mohamad Izha Mohd Saai, 30 dan bekerja sebagai juruteknik operasi di sebuah syarikat swasta, berjaya dibawa turun dari lokasi kejadian kira-kira jam 3 pagi.

“Mangsa dikatakan tergelincir dan terjatuh di kawasan itu petang semalam lagi... kami menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 2.48 petang semalam.

“Kita menggerakkan operasi menyelamat membabitkan 11 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas dan Kuantan.

“Turut menyertai operasi itu ialah 12 pegawai dan anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), pasukan Multi Skill Team (MUST) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ranjer,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Nor Hisham berkata, pegawai dan anggota MUST tiba di lokasi kejadian jam 11 malam tadi, namun usaha untuk membawa mangsa turun berdepan masalah berikutan laluan gelap dan licin.

“Kita turut meminta bantuan Unit Udara JBPM bagi mengambil mangsa menggunakan teknik ‘winching’ tapi usaha itu turun berdepan kesukaran berikutan bentuk muka bumi dan hutan tebal,” katanya.

Beliau berkata, pegawai dan anggota JBPM serta pasukan keselamatan lain akhirnya membuat keputusan membawa mangsa turun menggunakan laluan darat.

Katanya, mangsa yang cedera pada bahagian pinggang, jari dan dagu itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa sedang melakukan aktiviti mendaki di kawasan air terjun itu sebelum tergelincir dan jatuh dari ketinggian kira-kira 7 meter.

255 dibaca
Berita Harian X