Sabtu, 10 Ogos 2019 | 2:00pm
ZAWARI menunjukkan keratan akhbar yang pernah disiarkan dia bersama arwah suaminya ketika itu sudah menderma darah 79 kali ketika ditemui di rumahnya di Taman Wangi. Gambar kecil, M Yusoff. NSTP/Ramli Ibrahim

Meninggal dunia ketika makan nasi

GUA MUSANG: Seorang lelaki berusia 64 tahun meninggal dunia ketika sedang makan nasi akibat serangan jantung di rumahnya di Taman Wangi di sini, petang semalam.

M Yusoff Abdullah yang juga antara penderma darah terbanyak di daerah ini menghembuskan nafas terakhir di riba isterinya, Zawari Mohamed, 59, di belakang rumahnya pada jam 4.50 petang.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Taman Kesedar Petra, Bandar Baru di sini, pada jam 10 malam tadi.

Zawari berkata, sebelum kejadian, dia menemani suaminya makan nasi di bawah pokok rambutan di belakang rumah.

“Saya kemudian masuk sebentar ke dalam rumah dan apabila keluar semula, saya dapati suami sudah tersandar atas bangku kayu.

“Ketika itu, dia (arwah) dalam keadaan sesak nafas dan saya tarik tubuhnya ke atas riba sambil mengeluarkan nasi penuh dalam mulut sebelum suami menghembuskan nafas terakhir.

“Sebelum ini suami kerap menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) berikutan masalah jantung sejak lima tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Zawari berkata, arwah mula menderma darah pada tahun 1983 di Hospital Kuala Lumpur ketika bertugas sebagai tentera di bahagian kejuruteraan.

“Apabila tamat berkhidmat, dia menderma darah di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu apabila menetap di Gua Musang sepenuh masa dia melakukan perkara sama HGM dan Hospital Kuala Krai tiga kali setahun.

“Dalam rekod arwah sudah 80 kali menderma darah namun tidak pernah mendapat keistimewaan ketika menerima rawatan di hospital,” katanya.

Berita Harian X