Sabtu, 10 Ogos 2019 | 8:23am
Gambar dikeluarkan Lucie Blackman Trust (LBT) dan ihsan keluarga Nora Quoirin menunjukkan potret terbaharu Nora Quoirin, 15 remaja Ireland yang hilang. - Foto AFP

Nora Anne tidak seperti remaja lain

SEREMBAN: Ahli keluarga Nora Anne Quoirin, 15, menyifatkan remaja warga Ireland itu sebagai seorang yang menyeronokkan, lucu dan sangat penyayang.

Salah seorang ahli keluarganya berkata mangsa tidak seperti remaja lain dan tidak akan ke mana-mana bersendirian.

Katanya, Nora Anne nenghidap ‘Holoprosencephaly’ sejak lahir yang bermakna dia mempunyai saiz otak yang lebih kecil berbanding individu lain.

“Sepanjang hayatnya, Nora Anne banyak luangkan masa di hospital. Semasa lahir, dia memerlukan pembedahan untuk membantunya bernafas.

“Beberapa pakar kesihatan memantau pertumbuhannya, kebolehan fizikal dan kekuatan terutama keupayaan mentalnya.

“Nora memerlukan pemantauan pakar pendidikan yang khusus dan kini ditempatkan di sekolah untuk kanak-kanak dan orang muda yang mempunyai masalah berkomunikasi dan pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Kenyataan itu dikeluarkan menerusi Lucie Blackman Trust, sebuah badan amal yang menguruskan hal ehwal berkaitan media untuk keluarga mangsa.

Kenyataan itu turut menyebut, mangsa berbangga dapat bertutur dalam bahasa Perancis dan Inggeris, namun kebolehannya berkomunikasi secara lisan adalah terhad.

“Nora Anne boleh membaca seperti kanak-kanak, tetapi dia boleh menulis dengan banyak. Dia mempunyai daya ingatan yang baik tetapi tidak memahami apa-apa secara konseptual.

“Dia tidak memahami matematik dan tidak pandai menggunakan wang, selain membuat atau menjawab panggilan telefon secara sendiri,” katanya.

Katanya, Nora Anne mampu mandi dan memakai pakaiannya sendiri, namun menghadapi kesukaran untuk memakai butang dan membasuh rambutnya.

“Di sekolah, dia sedang belajar menunggang basikal. Nora Anne suka berjalan bersama keluarganya, bagaimanapun menghadapi kesukaran untuk mengimbangkan diri.

“Sebelum ini, dia pernah ke Asia serta Eropah dan tidak pernah terpisah dari keluarga atau tersesat.

Dia sangat sensitif, malah sangat pemalu dan akan resah terhadap orang luar.

“Setiap malam, dia akan meluangkan masa bersama ibunya sebelum tidur,” katanya sambil menambah Nora sangat teruja untuk bercuti di Malaysia bersama keluarganya.

Nora Anne yang mengalami masalah lembam sebelum ini dilaporkan hilang ketika menginap di sebuah resort di Pantai di sini pada Ahad lalu sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, operasi SAR yang memasuki hari ketujuh hari ini masih gagal mengesan mangsa.

Berita Harian X