Jumaat, 9 Ogos 2019 | 11:13pm
KEADAAN kenderaan yang dihempap bumbung premis perniagaan di Pantai Chenang. - Foto ihsan pembaca

Langkawi dilanda ribut

LANGKAWI: Kejadian pokok tumbang, lalu lintas tersekat dan bumbung rumah tercabut dilaporkan di beberapa lokasi sekitar pulau ini susulan angin kencang dan hujan lebat, malam ini.

Insiden bermula sekitar jam 7.45 malam itu turut menyebabkan peniaga Pasar Malam Ayer Hangat di sini, kerugian selepas khemah dan barangan jualan diterbangkan angin.

Orang ramai yang sedang menikmati makan malam di sekitar Pantai Chenang dilaporkan bertempiaran mencari tempat perlindungan sejurus ribut menerbangkan atap premis perniagaan berhampiran.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Langkawi, Ahmad Shahfikri Darus, berkata hampir seluruh Langkawi dilaporkan menerima kesan akibat angin kuat itu.


KEADAAN khemah premis perniagaan yang diterbangkan ribut di Pasar Malam Ayer Hangat. - Foto ihsan pembaca

"Laporan awal mengatakan kejadian ribut membabitkan rumah penduduk yang menetap di Mukim Kedawang, Bohor, Padang Mat Sirat, Ayer Hangat, Kuah dan Ulu Melaka.

"Akibat bencana itu, beberapa buah rumah penduduk dan kenderaan rosak akibat ditimpa pokok," katanya ketika dihubungi.

Ahmad Shahfikri berkata, selain itu pergerakan kenderaan membabitkan beberapa jalan utama juga terhalang akibat pokok tumbang.

"Sehingga kini, kita telah melakukan koordinasi pengurusan bencana bersama Pejabat Daerah, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk membersihkan kawasan terjejas.

"Turut serta Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Penghulu Mukim dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung," katanya.

Antara jalan utama yang terjejas akibat pokok tumbang termasuk Jalan Kampung Ewa, Pantai Kok, Bukit tangga, Temonyong, Padang Matsirat, Ulu Melaka, Yooi dan Bohor Berendam.

2595 dibaca
Berita Harian X