Jumaat, 9 Ogos 2019 | 9:30pm

Penunggang Grab Food pertahan motosikal dari disamun

KUALA LUMPUR: Seorang penunggang penghantar makanan Grab Food, bergelut dengan dua lelaki bagi menyelamatkan motosikal Yamaha Y15zr miliknya dari cuba disamun di Phileo Damansara, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.53 petang itu, mangsa yang berusia 22 tahun dalam perjalanan menghantar makanan kepada pelanggan di kawasan di Phileo Damansara 2, sebelum dihampiri dua suspek lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125z.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata setibanya di hadapan sebuah bangunan, salah seorang suspek mengarahkan mangsa turun dari motosikalnya.

“Suspek terbabit menyatakan motosikal yang dinaiki mangsa adalah motor curi dan suspek ingin mengambilnya.

“Pada masa sama, salah seorang lagi suspek yang datang dari arah belakang terus memukul kepala mangsa menggunakan besi pengunci hingga menyebabkan berlakunya pergelutan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zani berkata semasa bergelut, salah seorang suspek cuba bertindak melarikan motosikal mangsa namun gagal selepas mangsa yang sedang bergelut bangun dan menendang motosikal miliknya hingga jatuh bagi menghalang suspek.

“Semasa pergelutan, telefon bimbit jenis Samsung dipercayai milik salah seorang suspek terjatuh dan tertinggal di lokasi kejadian selepas kedua-dua suspek cuba melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, hasil daripada maklumat saksi di lokasi kejadian, dia melihat salah seorang suspek membawa parang di belakangnya namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian telinga, kepala, belakang badan dan mulut namun tidak mengalami sebarang kerugian selepas motosikalnya gagal dilarikan,” katanya.

Katanya, sehubungan kejadian ini, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat serta melihat kejadian berkenaan untuk segera memaklumkan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya ditalian 03-79662222 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Ketika ini pihak polis sedang berusaha mengenalpasti identiti kedua-dua suspek berdasarkan maklumat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang penunggang penghantar makanan Grab Food, bergelut dengan dua lelaki bagi menyelamatkan motosikal Yamaha Y15zr miliknya dari cuba disamun di Phileo Damansara, petang tadi.
Berita Harian X